Sunday, December 15, 2013

PENYEBAB JERAWAT DI MUKA


PENYEBAB JERAWAT DI MUKA



            Jerawat di muka sering menjadi masalah besar terutamanya kepada para remaja sama ada perempuan mahupun lelaki. Namun begitu, golongan dewasa juga tidak terkecuali untuk berhadapan dengan masalah jerawat pada wajah. Penyebab jerawat di muka adalah sejenis penyakit kulit yang terjadi akibat gangguan pada kelenjar-kelenjar sebaceous iaitu kelenjar yang terdapat di dalam kulit dan mengeluarkan minyak untuk meliputi permukaan kulit setiap individu. Biasanya kelenjar ini akan menghasilkan jumlah minyak yang mencukupi untuk menjaga kulit muka supaya sihat, berkilat dan kelihatan muda. Walau bagaimanapun, rembesan minyak berlebihan yang dikeluarkan oleh kelenjar minyak ini boleh menyebabkan kulit muka berjerawat.


Umumnya mengetahui faktor utama penyebab jerawat di muka ialah masalah hormon yang sedia ada dalam badan setiap individu. Hormon berperanan besar dalam pembentukan jerawat. Oleh itu, tidak hairanlah bagi wanita yang menanti kedatangan haid akan lebih mudah ditumbuhi jerawat pada muka mereka. Hal ini kerana ketika itu hormon berada dalam keadaan yang tidak seimbang. Hormon androgen yang menyebabkan pertumbuhan jerawat akan lebih tinggi menjelang haid dan ditambah dengan stres atau tekanan yang melanda diri.


            Kehadiran hormon DHT (dihydrotestosterone) menyebabkan kelenjar ini menghasilkan jumlah minyak yang berlebihan. Hasil daripada kenaikan hormon DHT menyebabkan rangsangan berlebihan kepada kelenjar minyak dan minyak ini akan berkumpul dalam liang sehingga mengakibatkan liang tersumbat dan seterusnya mendorong kepada kemunculan jerawat. Hormon DHT ini merupakan punca jerawat yang dialami oleh lelaki dan wanita tanpa mengira usia. Sebagai contoh seawal usia 12-16 tahun, remaja akan sering mengalami masalah jerawat ini kerana sekitar usia ini remaja sedang mengalami proses kematangan. Semasa proses ini, berlaku perubahan keseimbangan hormon di mana hormon testosterone mula dihasilkan dan bertukar menjadi DHT di dalam kulit. Jenis jerawat yang tumbuh pada masa ini dipanggil acne vulgaris. Penghasilan minyak yang berlebihan serta pengelupasan sel kulit mati yang tidak teratur sehingga dapat mengiritasikan folikel di kulit kerana adanya bakteria dan peradangan.


            Faktor keturunan turut dikatakan sebagai punca seseorang itu mengalami masalah wajah berjerawat. Sekiranya, ibu atau bapa seseorang individu itu berhadapan dengan penyakit kulit ini, individu tersebut akan mempunyai potensi untuk mewarisi masalah kulit muka berjerawat ini. Hal ini kerana sel-sel yang terdapat dalam tubuh badan mereka kebanyakannya sama termasuklah sel atau hormon yang menyebabkan jerawat berlaku.


            Ada kalanya masalah resdung juga dianggap sebagai punca yang mengakibatkan individu tersebut menghidap masalah jerawat. Resdung adalah sejenis alahan. Symptom resdung ini menyebabkan hidung, mata dan kulit muka mengalami kegatalan yang teramat. Resdung terangsang akibat bahan-bahan punca alahan seperti habuk atau cuaca di mana hidung akan mula berair, mata dan kulit muka pula akan kegatalan. Apabila individu itu menggaru kulit muka dengan kuku, barulah ia menjadi punca akibat timbulnya jerawat, iaitu melalui jangkitan kuman yang dibawa oleh kuku ke atas kulit muka. Hal ini menyebabkan seseorang individu itu mengalami dua masalah pada masa yang sama iaitu alahan hidung dan juga masalah kulit berjerawat.


            Produk rawatan rambut memang dapat membuat rambut lebih lembut dan bercahaya, namun pada masa yang sama juga ia menjadi penyebab jerawat di muka. Produk rawatan rambut biasanya diperbuat daripada bahan dasar minyak dan apabila terkena wajah akan menambahkan minyak pada wajah individu tersebut. Rambut akan terkena pada wajah ketika tidur tanpa disedari dan kemudian akan menyentuh wajah dengan tangan yang kotor. Hal ini menyebabkan bakteria yang gugur daripada rambut dan juga yang ada pada tangan akan menempel atau melekat pada wajah. Seterusnya menyebabkan tanda-tanda jerawat akan tumbuh mula muncul.


Kajian terbaru menyatakan bahawa dehidrasi adalah salah satu penyebab jerawat di muka. Lebih daripada 60% tubuh manusia terdiri daripada cecair dan kekurangan cecair dalam badan boleh mengganggu kesihatan tubuh dan salah satunya adalah kemunculan jerawat pada muka. Kulit muka akan menjadi kering dan kasar sehingga menyebabkan pengumpulan sel-sel kulit mati yang membuatkan liang-liang pori tersumbat sehingga mengakibatkan pertumbuhan jerawat.


Mengenakan solekan pada wajah untuk satu tempoh yang lama boleh mendorong berlakunya iritasi yang kemudiannya menyebabkan jerawat mula menumbuh di wajah. Setiap kosmetik mengandungi bahan-bahan kimia yang boleh mengakibatkan timbulnya jerawat yang tidak diingini. Setiap pengguna kelengkapan kosmetik terutamya wanita, perlulah mengurangkan penggunaannya dan perkara yang paling penting ialah sentiasa berwaspada dengan label yang terdapat pada kosmetik atau alat solek. Menggunakan alat-alat solek seperti berus, span dan alat-alat lain yang kurang bersih turut mendorong munculnya jerawat. Jerawat juga berpotensi untuk muncul dengan penggunaan kosmetik yang tidak sesuai seperti memakai bedak atau foundation yang bertekstur creamy atau two way cake. Kebanyakan kosmetik di pasaran mempunyai tahap alkohol yang tinggi dan tabiat jarang membersihkan muka setelah mengenakan solekan juga menjadi pendorong munculnya jerawat. Pakar kulit menyarankan agar individu itu mengelak daripada menggunakan produk-produk yang mengandungi minyak dan menyarankan anda untuk menggunakan kosmetik yang berlabel “Noncomedogenic”.


Amalan kerap mencuci muka bukanlah suatu tabiat yang elok pada hakikatnya. Setiap individu akan bertindak mencuci muka sekerap mungkin bagi mengurangkan atau menghilangkan lebihan minyak yang ada pada wajah mereka. Sebenarnya, amalan ini akan membuat sel pada wajah merembeskan lebih banyak minyak sehingga menyebabkan pertumbuhan jerawat. Cukup sekadar mencuci muka sebanyak dua kali sehari iaitu di pagi hari dan di malam hari sebelum masuk tidur. Namun begitu, penggunaan sabun atau scrub yang mengandungi bahan anti-bakteria seperti alkohol akan mendorong kepada masalah ini juga. Pemakaian sabun yang berlebihan boleh menyebabkan liang-liang muka tercedera dan menimbulkan jerawat.


Menggosok kulit dengan kasar atau membersihkan kulit muka menggunakan sabun atau bahan kimia adalah berpotensi menyebabkan kulit beriritasi dan bertambah parah. Jika seseorang wanita itu diserang jerawat ketika dia dewasa, ini mungkin disebabkan kosmetik yang digunakan. Tabiat sering dan gemar menyentuh wajah dengan tangan yang tidak bersih akan membuatkan jerawat semakin membesar. Kekerapan menyentuh wajah yang berpeluh dengan tangan atau menggosok hidung boleh mendorong hadirnya bakteria yang menyebabkan masalah kulit. Memicit jerawat akan menyebabkan bakteria berpeluang untuk tumbuh dan berkembang. Tabiat ini membuatkan bakteria pada jerawat masuk semakin dalam ke kulit sehingga timbulnya radang dan akan meninggalkan kesan kekal berwarna hitam. Sinar UV sememangnya mempunyai manfaat anti-bakteria bagi mengurangkan pertumbuhan jerawat, tetapi berjemur dengan tempoh yang lama juga tidak baik kerana kulit muka akan menjadi sangat kering sehingga minyak akan dirembeskan lebih banyak lagi.
 

Gaya hidup yang tidak sihat juga menjadi salah satu faktor penyebab jerawat di muka. Individu yang gemar meminum alkohol, perokok tegar, kurang istirehat dan mengalami tekanan boleh meningkatkan hormon androgen. Hormon androgen akan meningkatkan perembesan kelenjar minyak. Oleh itu, minyak boleh menyebabkan liang roma tersumbat ditambah dengan permukaan kulit muka yang ditutup oleh solekan akan menyebabkan radang dan timbulnya jerawat. Pemilihan makanan yang tidak sihat juga boleh menjadi puncanya seperti pengambilan makanan segera serta makanan bergoreng dan berminyak yang terlalu kerap. Pola pemakanan yang tidak betul akan menyebabkan lebihan kadar minyak sehingga menyebabkan kemuncul jerawat. Para pengkaji di New York telah mendapati bahawa meminum susu terlalu banyak juga menjadi penyebab timbulnya penyakit yang menyerang kulit. Coklat dan gula juga dikatakan menjadi sebab munculnya penyakit kulit.


Membiarkan diri berada dalam keadaan stres atau tekanan juga boleh mempengaruhi kesihatan kulit terutama kulit muka seseorang. Sebab itu ketika seseorang berada dalam keadaan tertekan, tubuh menghasilakan hormon stres (kortisol) yang akan merangsang penghasilan minyak berlebihan dari kelenjar di dalam kulit. Lebihan minyak ini seterusnya akan bercampur dengan sel-sel kulit mati dan bakteria dan jerawat yang tumbuh bertambah besar serta parah. Tanpa kita sedari, kelengkapan lain seperti pakaian, selimut dan sarung bantal juga boleh menjadi penyebab masalah jerawat di muka. Benda  yang dipakai dan bersentuhan dengan kulit secara langsung seperti pakaian, selimut dan bantal akan lebih banyak mengandungi bakteria dan kotoran seperti peluh. Peluh dan habuk akan bercampur dan seterusnya melekat pada kulit muka. Inilah punca penyebab jerawat di muka tanpa kita sedari.


Dapat disimpulkan bahawa setiap individu tidak akan terlepas daripada mengalami masalah jerawat pada muka ini. Tetapi sejauh mana teruknya masalah ini adalah bergantung kepada cara si pemilik wajah menjaga kebersihan wajah mereka.

No comments:

Post a Comment